SELAMAT DATANG KE ARTMYWORK, TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN ANDA

28 Julai 2008

Selamat Datang...!!


Asalamualaikum & Salam Sejahtera,

Akhirnya idea untuk menghasilkan sebuah blog yang akan memaparkan segala hasil usaha saya telah berhasil. Selama ini memang banyak kerja seni yang telah saya hasilkan, ada yang masih lagi wujud dan ada yang telah musnah dan hilang. Justeru itu, saya mengambil inisiatif membuat blog ini sebagai satu wadah perkongsian tentang hasil seni saya agar ia tidak hilang begitu saja.

Dengan harapan agar masyarakat setempat dan seantero dunia yang melayari internet dapat mengenali saya serta mempertemukan semula sahabat-sahabat lama yang telah terputus hubungan untuk menghubungi saya semula. Sebagaimana yang sahabat-sahabat saya mengenali saya, dunia seni ini sememangnya masih lagi menjadi hobi saya sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun bidang kerja saya bukan berkaitan dengan seni namun dunia hari telah menyaksikan bahawa seni adalah satu bidang yang berpotensi untuk diperkembang melalui internet.

Bekerjalah dengan penuh kesenian yang tersendiri, jangan bekerja semata-mata hendak makan gaji atau kerja cincai saja kerana pekerjaan kita adalah satu amanah dan tanggungjawab sosial membantu masyarakat. Dengan Sign Board dan Banner saja misalnya boleh membantu ramai orang kerana ia adalah petunjuk yang memudahkan mereka mendapat maklumat yang memberitahu tentang sesuatu yang berguna.

Secara asasnya, tiada siapa pun yang mahu susah dalam melakukan pekerjaannya. Sesiapa yang merasakan kesusahan dalam bekerja sebenarnya bukan kerja itu yang susah tapi diri sendiri yang mahu bekerja dengan cara yang menyusahkan diri sendiri. Akhirnya merungut dan putus asa menyalahkan orang lain.

Kita perhatikan bagaimana bangsa Amerika dan Jepun menjadi maju, mereka sentiasa berusaha mencari jalan dan mencipta sesuatu yang memudahkan urusan kehidupan. Biar mereka bersusah payah berusaha dan berfikir asalkan mereka akhirnya dapat melaksanakan kerja mereka seterusnya dengan mudah menggunakan inovasi baru dan teknologi canggih. Adakah hari ini kita masih bekerja dengan menggunakan mesin taip yang sangat menyusahkan jika berlaku kesilapan ejaan. Itulah yang dinamakan skil bekerja dan kemahiran yang melahirkan idea untuk memudahkan kerja.

Saya akan himpunkan hasil-hasil kerja seni yang pernah dibuat. Ia juga sebenarnya turut membantu saya menilai hasil kerja saya untuk memperbaiki lagi kualiti hasil seni yang saya hasilkan pada masa akan datang.

Salam Perkenalan.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin