SELAMAT DATANG KE ARTMYWORK, TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN ANDA

13 Disember 2009

Pelangi di Tengahari

Hari tu kebetulan tengah cuci kereta masa panas terik tengahari guna air pancut ala-ala hujan renyai-renyai. Kita selalunya bila tengok pelangi hanya semasa hujan renyai-renyai dengan cahaya matahari masih memancar di langit. Tapi kali ni pelangi boleh dibuat untuk eksperimen budak-budak kat sekolah dengan teknik yang tak disengajakan seperti di atas. Pancutan air renyai-renyai tu kalau dibagi kuat lagi, lagi terang warna pelangi tu dan bayang-bayang kedua kat sebelah atas tu akan lebih cerah.

Bunga Kaktus, Mangga Giant dan Naga Kenit

Aku nak kongsi beberapa keunikan yang mungkin korang belum tengok lagi...iaitu bunga kaktus, mangga giant dan buah naga kenit. Bunga kaktus ni bukan main besar macam tapak sulaiman tapi pokok kaktusnya kecik je.


12 Disember 2009

Banner Blog 2010

Kalau nak maju kita kena berubah...itulah yang orang selalu kata. Tahun baru 2010 pun dah tak lama lagi jd kalau nak berubah takyah le tunggu tahun baru nak buat azam baru, azam lama pun lom tercapai 100%. Pasal apa aku guna tema Berkarya adalah Bekerja...sebabnya nak tutup mulut orang yang kata kita orang ni tak buat kerja.Oleh itu, berkarya juga adalah bekerja dan bekerja perlu untuk kita menghasilkan karya supaya tak lah nanti orang kata cakap je banyak kerja tak buat kerja.

01 November 2009

Taman Mini Kaktus

Dah lebih setahun koleksi pokok kaktus ini dok asing-asing dalam 1 pasu kecik. Nak ambik semangat 1Malaysia, saya pun satupadukan koleksi kaktus ni dalam satu pasu besar. Bila dah susun elok-elok, nampak menariklah kaktus-kaktus ni tersusun dalam satu pasu.

23 Oktober 2009

Cover Majalah JERUNAI 2009

Rekabentuk cover majalah Jerunai tahun 2009, ia diubahsuai dari rekabentuk original yang tak berapa menarik dan kemas dibuat oleh pelajar. Warnanya memang hitam putih sebab itu konsep yang ditetapkan oleh editorial. Kerja saya cuma buat je mengikut permintaan walaupun kat luar sana tu ada jugak suara-suara sumbang yang tak berapa setuju ngan rekabentuk grafik tersebut.

.

13 Oktober 2009

Design Cover MPSH 2009

Prinsip saya kalau buat buku program MPSH tak boleh bikin cincai-cincai, maklumat dalam tu kena lengkap dan tepat. Ejaan murid dan ibu bapa kena betul, kalau ada bin atau binti tu tuliskan. Jangan taruh nama pelajar tu saja. MPSH ni satu majlis yang besar dan sangat bermakna bagi pelajar dan ibu bapa sebagaimana sesiapa yang belajar kat U tu bila nak terima ijazah kena pakai jubah ngan topi segi 4 baru la ada feel, ibu bapa pun bangga.

Buku program ni yang tengok nanti ibu bapa jugak, pengacara majlis pun bila sebut nama pelajar tentu le rujuk buku program jugak. Tak elok kalau nama pelajar tak disebut betul dan penuh dengan nama bapa sekali. Perkara ni walaupun nampak macam remeh tapi mempunyai pengertian yang sangat besar. Cara nilah untuk kita menghargai orang lain walaupun orang tu mungkin tak hargai kita

Jadi, setiap aspek dalam buku program tu kena ambil kira. Dari design cover, jumlah muka surat dan susunan. Kalau pasal design tentu la orang nak tengok yang nampak menarik. Ada jugak yang kata buat simple je, simple ni bergantung pada seseorang. Ada yang mungkin tak berapa tau nak buat dia buat simple je. Tapi ada yang tau buat lebih dari yang simple namun yang dibuat simple pun orang lain akan kata sofistikated sangat, tapi baginya tak berapa susah sangat pun cuma orang lain tengok macam susah sangat. Majlis ni majlis serius dan gilang gemilang kenalah buat design yang cantik sikit, yang ada maknanya. Jumlah muka surat mana yang dapat dipadatkan, manfaatkan setiap ruang kosong dengan susunan yang teratur.

Secara umumnya, MPSH adalah satu majlis rasmi tahunan yang sangat penting bagi setiap sekolah kerana ia satu upacara untuk meraikan pencapaian seluruh warga sekolah. Ia sepatutnya tak boleh buat tangkap muat. Secara khususnya pula untuk bahagian buku program ni saya sentiasa cuba buat yang terbaik. Kalau bahagian lain tak begitu lancar sekurang-kurangnya bahagian saya dapat cover line untuk kekurangan yang berlaku pada bahagian tersebut. Itu pun kalau dapat cover line. Wallahu'alam.

11 Oktober 2009

Kad Jemputan Perkahwinan


Sekarang ni nak dekat hujung tahun ramai pasangan yang nak kawin kena buat kad jemputan bagi menunjukkan yang majlis mereka tu adalah rasmi. Kalau nak jemput pakai mulut boleh juga tapi kan lebih baik pakai kad jemputan, lebih sopan orang tua-tua kata sebab majlis kawin tu bukan majlis sebarangan.

Dalam memilih kad jemputan pulak ada yang tempah dari kedai atau sekarang ni pun boleh pesan melalui internet Bermacam-macam reka bentuk dan warna ada sesuai dengan citarasa atau tema majlis perkahwinan pasangan tersebut. Kalau yang nak bajet murah pun boleh, kenalah rekabentuk sendiri dan cetak kad kedai photostat.

Kalau buat sendiri tu kenalah kemas dan menarik sikit, supaya nanti biarpun kosnya murah tapi kualiti dari segi aspek rekabentuk grafik tetap diutamakan. Ada antara rekabentuk grafiknya berterabur, gambarnya pulak tak berapa sesuai bahkan ada yang sepatutnya satu kertas tu boleh buat 2 keping. Alang-alang berjimat biarlah betul-betul jimat supaya kos yang lebih tu nanti boleh beli buah tangan banyak sikit untuk tetamu yang datang.


26 Julai 2009

Rezeki Ada di Mana-mana


4 Jenis Cili
Pada tahun ini rezeki sungguh melimpah ruah, dimana-mana sahaja pekebun sayur akan mendapat hasil tanaman yang baik dan segar jika dijaga dengan betul (tidak dimakan serangga atau belalang). Cuma apabila berlaku hujan beberapa hari dan cuaca sentiasa lembab menyebabkan beberapa pohon tanaman seperti cili membusuk akibat terlebih air. Semenjak bulan Februari lepas kami sekeluarga kurang membeli sayuran dari pasar hasil penanaman beberapa jenis sayuran di halaman rumah.

Sawi Sudu
Bukan setakat sayuran, kaki pancing juga turut mendapat tangkapan yang lumayan. Inilah yang dinamakan rezeki, jika kita rajin mencari dan mengusahakannya dimana-mana saja kita boleh mendapatkannya, yang penting belajar untuk berdikari dan bersusah payah supaya tidak terlalu bergantung dengan orang lain bagi mengelak dari dimanipulasi.

Foto 1
Foto 2
Foto 3

*Foto 1, 2 dan 3 sumbangan dari memberku Wahed Haris.

02 Julai 2009

Cover Brosure SMIM


Pengenalan

Bagi menambahbaik kaedah penyampaian maklumat inventori, Unit Makmal Sains mengambil langkah proaktif untuk membangunkan Sistem Maklumat Inventori Makmal (SMIM). SMIM diperkenalkan bagi memudahkan pengurusan maklumat-maklumat inventori tertentu yang merupakan sebahagian daripada alat bantu mengajar (ABM) sains.

SMIM mempunyai beberapa ciri yang mudah guna dengan panel menu utama yang jelas dan ringkas. SMIM akan diupgrade dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan pertambahan inventori untuk peralatan baru.

17 Jun 2009

Cover Brosure Makmal Sains 2010

Muka Hadapan Brosure
Banyak badan-badan dan agensi-agensi tertentu telah menggunakan brosure untuk memperkenalkan kewujudan dan perkhidmatan mereka kepada orang awam. Ini merupakan salah satu daripada sistem penyampaian maklumat berkenaan sesuatu badan dan agensi kepada masyarakat awam.

Penggunaan brosure amat penting walaupun unit makmal sains hanya bersifat dalaman sekolah sahaja dan hanya dikenali oleh pelajar dan guru sahaja. Tapi persoalannya sejauh manakah para pelajar terutama guru mengenali unit makmal sains. Adakah unit ini sekadar membantu guru-guru sains sahaja sedangkan hakikatnya pengurusan makmal adalah dibawah kawal selia kakitangan makmal sains.

Maka itulah, unit makmal sains cuba memperkenalkan penyampaian maklumat menerusi brosure ini yang akan memperkenalkan serba sedikit tentang latarbelakang unit makmal sains, perkhidmatan dan kemudahan yang ada, sistem-sistem yang digunapakai dalam pengurusan serta tatacara mencari peralatan atau inventori serta prosedur-prosedur lain misalnya merekod buku peralatan pecah, penggunaan printer dan pesanan radas dan bahan untuk eksperimen.

09 Jun 2009

Tunggul Kayu atau Burung?

Sekali pandang nampak macam tunggul kayu je
Pada mulanya bila dikatakan ada seekor burung pada puncak pohon kayu yang dipotong, memang tidak percaya. Kerana tidak nampak pun kelibat seperti seekor burung. Apabila diperhatikan betul-betul barulah nampak mana matanya, mana paruhnya dan mana pula pelepah sayapnya. Sekali pandang memang tidak nampak seperti burung lantaran warna bulu dan coraknya sama seperti batang kayu dimana ia hinggap. Apatah lagi bila burung tersebut mendongak ke atas seolah-olah puncak pohon kayu yang telah dipotong rata itu kelihatan seperti dipotong sendeng 45 darjah.

2 kali pandang baru la nampak macam burung
Apabila diperhatikan pula dari sudut lain barulah jelas akan rupanya yang sebenar dengan adanya paruh, mata dan sayapnya. Dari apa yang saya perhatikan apabila burung ini sedar dan cuba nak melepaskan diri, ia adalah sejenis burung helang tidak pasti spesis apa. Mungkin sesiapa yang terbaca post ini dan berpengetahuan mengenai spesis-spesis burung boleh reply untuk menjelaskan spesis sebenar burung berkenaan.

Memang agak pelik juga rupanya, burung ini tidak akan bergerak bila ada ancaman di sekelilingnya. Dengan kelebihan warna dan bentuknya, burung ini menggunakan teknik penyamaran dan tidak akan bergerak bagi memastikan kehadirannya disitu tidak disedari. Apabila pengancamnya mendekati semakin hampir, kepalanya yang mendongak ke atas tadi akan perlahan-lahan menoleh dan matanya juga akan terbuka liar. Bilamana rasa terancam ia akan terbang melarikan diri tetapi tidak lama selepas itu ia akan kembali. Begitulah seterusnya. Tempat itu telah menjadi habitatnya semenjak hampir sebulan yang lalu.

Warna dan corak batang kayu sama dengan warna dan corak bulu burung

06 Jun 2009

Cili Api & Bunga ala Morning Glory

Kecil-kecil cili api, walaupun kecil pedasnya memang berapi. Sesekali nak juga merasa masakan dengan cili padi ni. Di tempat saya jarang dijual cili jenis ini oleh itu saya simpan dan semai biji benihnya untuk ditanam di sekitar rumah ada dalam 3 batang pokok. Jadi, kalau nak tambah dalam ramuan masakan petik saja tak perlu beli di pasar.

Ini pulak cili misai kucing dan pedasnya pun boleh tahan juga, tunggu masa untuk masak merah menyala. Cili ni saya tanam dalam polybag kerana tak ada ruang lagi tempat untuk menanam, ada beberapa buah polybag. Kalau nak merasa kepedasan cili misai kucing ni pun hanya petik saja. Segala apa yang diusahakan ini sebagai satu cara untuk berdikari tanpa terlalu bergantung kepada hasil "import" dari luar yang hanya membazirkan wang saja. Sedangkan di dalam negara kita masih banyak ruang tanah yang belum diterokai. Rakyat Malaysia perlu lebih produktif lagi jika mahu maju dengan kadar yang pantas. Negara kita masih kaya dengan hasil bumi dan tanah terbiar.

Bunga ini warnanya macam "morning glory" tetapi ia bukan morning glory, mungkin sama spesis jugak. Setiap pagi ia akan berbunga dengan lebat, petang akan gugur dan esok pagi berbunga lagi. Bunga ini 'diseludup' dari sabah sebab bila pandang kali pertama dulu memang cantik dan lebat berbunga dengan ditanam secara berbaris. Justeru itu, isteri saya pun berkenan dan dibawa balik. Kalau kat Sabah ditanam di kawasan tanah tinggi, bila sampai kat sini cuba ditanam di kawasan rendah dan ia menjadi.

Tanaman Tembikai & Labu

Pada mulanya hanyalah sekadar suka-suka untuk menanam tembikai dan labu, kalau-kalau menjadi. Namun, apabila semakin membesar dan subur cubaan tersebut mendatangkan hasil. Ia sungguh mengujakan kerana hanya beberapa hari saja berlaku perubahan saiz buah. Justeru itu, penjagaannya terus dilakukan sehingga buahnya terus menjadi dan boleh dipetik.

Selain mengisi masa lapang dan membuat perkara-perkara yang berfaedah mendatangkan hasil. Ini juga adalah satu caranya terapi minda atau tenangkan jiwa kerana kita sebagai manusia tidak akan mampu melepaskan diri dari fungsi alam semulajadi sebagai penyembuh penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun dalaman. Disamping untuk merasa sendiri hasil yang ditanam oleh usaha tangan sendiri dan menjimatkan kos perbelanjaan membeli makanan atau buah-buahan.

05 Jun 2009

Signboard Simbol Bahaya Bahan Kimia

Simbol-simbol Amaran Bahan Kimia Berbahaya
Signboard ini diperbuat daripada polisterin dan diwarnakan dengan cat mural Pelaka. Untuk menghasilkan 6 simbol berukuran 25cm X 25cm boleh diselesaikan selama 1 hari sahaja waktu bekerja termasuk terus menampal ke tempat yang hendak dipamerkan. Penghasilan signboard ini hanya memerlukan kos yang murah sahaja dan lebih menarik lagi dengan warna yang terang dan jelas. Memandangkan polisterin mudah patah, untuk meneguhkannya dan memudahkan menampal serta mencabutnya maka di bahagian belakang signboard polisterin ini ditampal dengan kad manila.

Tempat Paparan yang Mudah Diperhatikan
Dengan pemaparan simbol-simbol ini bukan saja untuk menceriakan bilik makmal tetapi yang lebih penting pelajar dapat mengenali apakah simbol-simbol bahaya bahan kimia. Setiap kali masuk ke makmal lama kelamaan boleh hafal dan ingat. Selain daripada simbol tersebut, lakaran wajah tokoh-tokoh sains juga boleh dibuat. Jika sebelum ini saya turut membuat signboard menggunakan papan perspeks, penggunaan polisterin juga adalah satu alternatif dengan kos yang murah dan mudah.

03 Jun 2009

Pembaikan Singki Makmal

Kebocoran berlaku pada bahagian ini
Pembaikan Singki pun ada inovasi juga...!! Jika ada kerosakan di dalam makmal mungkin ada yang akan menghubungi Pekerja Am untuk membaikinya. Tetapi sebelum itu perlu melalui prosedur iaitu mengisi borang Laporan Kerosakan barulah Pekerja Am akan mengambil tindakan. Saya cuba mengambil pendekatan yang berbeza, yang lebih cepat dan tidak perlu karenah birokrasi, kerana kerosakan yang dialami tidak boleh dibaiki secara 'asal siap' kerja. Saya tidak mahu selepas dibaiki nanti masalah yang sama tetap berulang setelah beberapa minggu atau bulan digunakan sedangkan sudah dibaiki. Saya mahukan penyelesaian yang mutlak, yang boleh bertahan lama.

Pembaikan tidak boleh dilakukan hanya dengan menggunakan bahan mentah yang boleh didapati terus di kedai-kedai alat ganti. Saya perlu melihat permasalahan yang sebenarnya dan apakah puncanya. Masalahnya adalah aliran air singki tidak terus melalui saluran keluar, sebaliknya kebocoran pada penyambung walaupun sesendal asli sudah dipasang. Masalahnya sesendal itu terlalu kecil dan tidak mampu menutup ruang sehingga melimpah keluar dari saluran yang sepatutnya.

Ubahsuai Sesendal dari Bahan Terpakai
Justeru itu, saya gantikan sesendal getah yang berbentuk gelang itu dengan tiub tayar yang dikerat bulat seperti pada gambarajah di atas. Dengan itu, apabila diketatkan dengan skru untuk mengapit penutup singki itu maka getah tiub tayar yang luas permukaannya yang lebih besar dapat menutup mana-mana ruang yang mungkin terbuka mengakibatkan aliran keluar melimpah. Penutup singki dengan skru serta nut saya spray dengan warna kuning supaya dapat bertahan dari berkarat akibat pembuangan sisa-sisa bahan kimia.

Masalah sebelum ini akibat limpahan keluar air dari singki menyebabkan seluruh lantai dilimpahi air setiap kali selepas eksperimen dijalankan. Maka itulah saya perlu 'turun padang' untuk melihat sendiri apakah punca sebenar sedangkan bila dilihat dari segi pemasangan penutup singki itu memang betul dan nampak sempurna.

Bagi saya, dalam membuat penyelesaian masalah saya akan cuba mencari langkah yang terbaik bukan saja dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah diketahui tetapi juga dengan mempelajari pengetahuan baru untuk menimba pengalaman yang baru. Tidak semestinya dalam menyelesaikan masalah itu perlu dengan kos yang tinggi. Cabaran yang paling getir ialah bagaimana untuk menyelesaikan masalah tetapi dengan kos yang efektif dan hasilnya sama seperti yang baru dan berjenama. Semoga perkongsian idea dan pendapat ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa saja yang merasakan 'stress' dalam bekerja menyelesaikan apa jua masalah.

23 Mei 2009

Kempen Bumi Hijau

Jagung Manis

Pokok Betik
Berbakti kepada bumi memang banyak faedahnya, bukan saja mengeluarkan hasil tanaman yang boleh dimakan sendiri tetapi juga boleh dijual jika ada lebihan. Gambar-gambar foto yang ditunjukkan disini adalah antara tanaman yang diusahakan saya sekeluarga dan telah atau bakal mendatangkan hasil. Sebelum ini, kami telah mengusahakan tanaman sayuran sawi dalam polybag.

Biarpun kita bukanlah seorang pekebun atau petani yang menjadikan aktiviti pertanian ini sebagai sumber pendapatan namun sebagai pengguna kita sebenarnya boleh mengawal harga komoditi ini di pasaran. Jangan biarkan ia dimonopoli oleh golongan tertentu saja kerana jika permintaan banyak tapi penawaran kurang memang golongan peniaga akan memberi alasan ini untuk menetapkan harganya pada kadar yang tinggi.

Sayur Kacang Panjang

Sayur Daun Cekur Manis


Cili Merah
Usaha penanaman sayur-sayuran di rumah adalah sebagai satu langkah untuk menjimatkan perbelanjaan serta menggalakkan produktiviti bukan saja dikalangan isi rumah tetapi juga para petani kecil mahupun petani besar supaya memperluaskan lagi pasaran mereka tidak terhad kepada permintaan setiap isi rumah di seluruh negara. Penanaman sendiri merupakan satu kepuasan kepada diri sendiri kerana sekiranya hendak memasak tidak perlu ke pasar sebaliknya hanya petik di kebun mini belakang rumah dan boleh didapati setiap hari sekiranya tempoh penanaman dibuat secara berperingkat-peringkat.

17 Mei 2009

Logo Dalat Social Network 2

Hak Cipta Terpelihara



Logo sebenarnya mempunyai banyak kategori. Antaranya logo organisasi dan logo produk. Logo organisasi seperti logo lencana sekolah, logo persatuan, logo unit berpasukan dan sebagainya. Manakala logo produk seperti jenama Levis, Nike, Nestle, Astro, RTM dan banyak lagi. Apabila orang melihat logo jenama tersebut maka orang akan kenal produknya.

Ada dikalangan orang tidak suka kepada penerangan yang panjang lebar tentang sesuatu ciri-ciri logo itu maka penyampaian maklumat tersebut dianggap sebagai hanya membuang masa dan tak perlulah dijelaskan panjang lebar atau buat logo yang sangat kompleks. Bagi logo kategori organisasi sememangnya memerlukan penjelasan yang terang, manakala logo produk cukup sekadar menunjukkan ia adalah trade mark kepada produk tersebut.

Kalau dicontohkan dengan teknologi, USA, Jepun dan Jerman antara negara yang kalangan penciptanya adalah berfikiran kritikal dan kompleks sehingga mereka mampu mencipta teknologi yang lebih canggih dalam bidang masing-masing.

USA misalnya, dari segi teknologi ketenteraan lihat saja sistem persenjataan mereka sangat kompleks tetapi simple misalnya pesawat tanpa pemandu, peluru tomahawk panduan GPS. Jepun dan Jerman dari segi kenderaan dan elektronik. Siapa tak kenal Toyota atau Honda atau Mercedes atau Porsche atau Nokia atau Philips atau Sony. Semua itu adalah teknologi yang nampak simple tapi kompleks.

Logo Dalat Social Network

13 Mei 2009

Home Made Sabun Gliserin

Sabun ini merupakan hasil sampingan ketika menghasilkan biodiesel. Ketika biodiesel timbul ke permukaan, gliserin akan tenggelam dan berkumpul ke dasar bekas. Proses pengasingan biodiesel akan meninggalkan baki gliserin ini yang akan membeku menjadi sabun dalam jangka masa waktu yang lama. Sekiranya gliserin ini dituang ke acuan yang berbentuk pastinya lebih menarik dan mempunyai nilai komersil. Di USA industri biodiesel sedang berkembang dan sabun gliserin ini juga turut diperkembangkan.

Walau bagaimanapun, dengan hasil usaha penyelidikan sendiri begini dapatlah ilmu itu diperolehi secara praktikal dan jika untuk diusahakan ia memerlukan kesungguhan dan perlu melihat prospek jangka masa panjang serta sokongan pemerintah dalam penghasilan sumber tenaga kitar semula yang mesra alam.

Utah Biodiesel Supply
Would you like to make soap from your Biodiesel Glycerin? Click Here

09 Mei 2009

Banner Website SMK Dalat




Banner website ini sekadar cadangan dan ilustrasi sahaja untuk menguji keupayaan Adobe Photoshop CS3. Pemilihan warna latar adalah untuk menyesuaikan dengan asas warna lencana sekolah, manakala gambar fotonya berlatarkan tempat di sekolah. Kewujudan website sekolah bergantung kepada inisiatif pihak pengurusan dengan kerjasama bahagian ICT untuk mengendalikannya.

05 Mei 2009

Penghasilan Biodiesel di Makmal

Proses Penghasilan Biodiesel di Makmal Sains

Bahan dan Radas yang diperlukan

Proses asas penghasilan biodiesel boleh dibuat di dalam makmal, pelbagai rujukan boleh dijadikan panduan. Sebagai langkah percubaan, maka saya mencuba untuk menghasilkan bahan api biodiesel ini sebagai satu rujukan eksperimen.

Minyak masak dipanaskan untuk menyingkirkan semua sisa air yang tertinggal
Lebih dahulu, panaskan minyak masak terpakai bagi menyingkirkan kandungan air yang masih terdapat dalam minyak tersebut. Minyak panas dibiarkan menyejuk seketika dan tuangkan ke dalam bekas contohnya seperti botol nescafe dibawah ini.

Minyak masak terpakai ini kelihatan gelap telah banyak kali digunakan

Untuk menguji tahap kandungan lemak perlu menggunakan penunjuk fenolftalein dan Natrium Hidroksida 1%. Dengan menggunakan picagari sukatan NaOH (Natrium Hidroksida) disukat berdasarkan perubahan yang berlaku kepada warna larutan penunjuk fenolftalein yang bertukar dari tidak berwarna kepada jingga. Dengan menggunakan sukatan beberapa mililiter NaOH 1% tadi maka pengiraan dapat dilakukan dengan formula khas yang akan menentukan berapa gram granul NaOH diperlukan untuk dibuat larutan dan dicampurkan dengan minyak masak tadi.

Proses menentukan tahap lemak dalam minyak terpakai
Satu sukatan NaOH sudah ditentukan untuk menghasilkan larutan yang sesuai kemolarannya dengan tahap lemak minyak masak terpakai berkenaan. Larutan NaOH ini akan dicampurkan dengan methanol menghasilkan satu larutan kimia yang dikenali sebagai methoxide. Methoxide inilah yang akhirnya akan dilarutkan ke dalam minyak masak terpakai yang sudah menyejuk tadi. Goncangkan botol nescafe bagi memastikan campuran methoxide + minyak masak benar-benar terlarut untuk membolehkan tindakbalas penyingkiran lemak.

Proses penyingkiran lemak melalui tindakbalas methoxide
Campuran larutan tadi dibiarkan sehari dan hasil dari tindakbalas menunjukkan kandungan lemak disingkirkan ke dasar botol. Sisa lemak ini dikenali sebagai glycerine, sisa ini juga ada manfaatnya iaitu boleh dijadikan sebagai sabun apabila ia dibiarkan beku. Dalam penghasilan sabun, NaOH diperlukan bagi mengikat ion-ion lemak dan proses ini berlaku dalam mengasingkan lemak minyak masak dengan bahan api biodiesel. Larutan disebelah atas merupakan bahan api biodiesel yang belum ditapis atau dibersihkan kerana masih terdapat sisa-sisa lemak yang belum tersingkir sepenuhnya.

Perbezaan warna minyak masak terpakai sebelum dan selepas proses penyingkiran lemak
Bagi membersihkan bahan api biodiesel dari kandungan sisa lemak perlu melalui proses mengalirkan air. Sebelum itu biodiesel diasingkan dari glycerine dan biodiesel tersebut diletak dalam satu bekas misalnya bikar 1000ml. Masukkan air paip ke dalam bikar tersebut dan goncangkan campuran biodiesel + air tersebut beberapa minit. Kemudian biar seketika, didapati biodiesel yang lebih ringan dari lemak dan tidak larut dalam air akan berada pada lapisan atas. Untuk menyingkirkan air dan sisa lemak tersebut gunakan radas seperti yang ditunjukkan dibawah sehinggalah yang tertinggal hanya lapisan biodiesel. Bagi proses penyingkiran lemak yang lebih lengkap ulangi langkah pengaliran air beberapa kali.

Proses penyingkiran sisa lemak daripada biodiesel
Selepas biodiesel diperolehi ia perlu ditapis sekali lagi menggunakan penuras, untuk di makmal kertas turas digunakan. Ini bertujuan untuk mengasingkan sisa-sisa pepejal yang mungkin timbul ke permukaan bersama biodiesel semasa proses pembersihan. Penapisan ini akan menghasilkan biodiesel yang lebih jernih berwarna kuning keemasan seperti gambar dibawah.

Biodiesel tulen telah dihasilkan setelah beberapa proses penapisan
Bahan api biodiesel ini perlu diuji terlebih dahulu, ia tidak mengeluarkan jelaga dan baunya seperti minyak masak yang dipanaskan. Sememangnya bahan api biodiesel ini lebih mesra alam berbanding petrodiesel, ia akan memelihara kebersihan kebuk enjin semasa proses pembakaran dan memandangkan ia tak mengeluarkan hidrokarbon, pembakaran yang lengkap akan memastikan kecekapan enjin.

Ujian nyalaan bahan api biodiesel


Sampel proses penapisan dan penghasilan biodiesel

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin