SELAMAT DATANG KE ARTMYWORK, TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN ANDA

06 Februari 2009

Menjadi Lebih Kreatif

MENJADI LEBIH KREATIF DARIPADA ORANG LAIN

Ingin berbeza daripada cara orang lain? Adakah anda bosan dengan benda dan gaya yang sama? Adakah anda masih ditakuk lama dan ingin menjadi lebih berjaya dalam karier anda? Cubalah untuk menjadi lebih kreatif daripada orang lain. Sudah tentu majikan anda akan ‘terasa’ kehadiran anda selama ini.

Contohi ciri-ciri orang yang kreatif
Pilihlah sesiapa sahaja yang teleh membuktikan bahawa mereka adalah orang yang kreatif. Orang yang telah berjaya dengan pelbagai idea-idea menarik dan mengagumkan. Mereka kebanyakannya tidak torkongkong, tidak takut menghadapi masalah, istiqamah, bersedia untuk mengambil risiko, dan mempunyai imaginasi yang tinggi. Adakah anda berani?

Bukalah pintu minda anda
Jangan cepat menghakimi dan menolak sesuatu idea. Otak yang kreatif seperti ikan bernafas di dalam air. Ikan menyedut semua air, dan kemudian barulah insang akan memerangkap oksigen yang ada di dalam air. Ikan tidak memilih dan cerewet. Ikan tidak menutup mulutnya. Begitu juga dengan anda. Bukalah minda anda.

Lupakan logic buat sementara
Oleh kerana terlalu logik, ramai orang gagal untuk berkreatif. Fikiran logik biasanya berguna ketika mengkritik perkara yang sudah ada. Tetapi kreatif bukan tentang perkara yang sudah ada. Kreatif ialah perkara yang belum ada, atau belum wujud. Jika idea itu berada di mana-mana, itu bukan kreatif namanya.

Berfikir gila-gila. Bukannya gila, tetapi gila-gila
Banyak kegunaan hari ini yang tercetus kerana pemikiran gila-gila. Rudolph Scheineder terfikir bolehkah untuk makan di restoran tanpa membayar? Akhirnya dia mencipta kad kredit pertama, Diner Club. Cuba bayangkan anda hidup pada tahun 1950-an dan mengeluarkan idea telefon tanpa wayar, boleh menjadi kamera, kalkulator, jam, penggera, jam randik, diari; bahkan boleh menghantar faks? Sudah pasti orang lain cakap idea itu gila. Tetapi idea itu tidak gila; ia adalah idea gila-gila. Dan hari ini, kita menggunakan telefon bimbit lebih daripada itu.

Anda tidak perlu mempertahankan idea sendiri
Dalam berkreatif, yang penting keluarkan idea. Tidak perlu untuk mempertahankan idea anda. Orang lain juga tidak berhak menempelak idea kreatif ketika di peringkat perah minda. Tidak perlu hujah dan dalil. Yang penting ialah IDEA

Galakkan diri anda untuk mencuba sesuatu yang kreatif
Tidak kira sama ada ia berjaya atau tidak; mencuba sesuatu yang kreatif sudah dikira suatu kejayaan. Mungkin anda tidak berjaya buat kali pertama, namun ia bukanlah satu kegagalan. Asalkan cubaan anda itu tidak menyebabkan kerosakan kepada orang lain. Ingat, antara ciri orang yang kreatif ialah istiqamah dan tidak takut pada masalah. Adakah anda sudah lupa?

Benarkan diri anda melakukan kesilapan
Memanglah orang yang mengikut kebiasaan selalunya tidak membuat kesilapan. Tetapi itu tidak kreatif. Apabila anda melakukan sesuatu yang baru, anda akan terdedah kepada kesilapan. Jika anda menghalang diri anda daripada melakukan kesilapan, anda tidak akan buat sesuatu yang baru, dan anda tidak akan berkreatif. Jadi, jangan kongkong diri anda. Maafkan diri anda jika ianya tersilap semasa cubaan kreatif.

Jika perlu, ulang dan ulang
Jangan seperti watak Coyote dalam kartun Road Runner Show. Dia ingin sekali menangkap Road Runner, tetapi dia terlalu cepat berputus asa dengan idea yang dipilih. Setiap kali tidak menjadi, terus mengalah dan buat benda yang lain pula. Ingatlah, tidak berjaya kali pertama tidak bererti gagal untuk selama-lamanya. Kenal pasti kekurangan dan kelemahan yang mungkin wujud dan perbaikilah untuk percubaan sekali lagi. Jangan cepat mengalah dan beralih angin. Jangan jadi hangat-hangat tahi ayam.

Belajar teknik berfikir
Anda harus faham bahawa berfikir adalah satu kemahiran bukan semula jadi . Anda perlu belajar dan berlatih. Jangan anggap kaputusan yang baik dalam peperiksaan menunjukkan bahawa anda seorang yang bijak berfikir. ltu belum tentu. Belajarlah bagaimana untuk berfikir dengan bijak. Mungkin kaedah Enam Topi Berfikir dan Pemikiran Lateral Edward De Bono adalah salah satu teknik berfikir yang baik untuk anda pelajari.

George Bernard Shaw parnah berkata, Jika anda mempunyai sebiji epal dan saya mempunyai sebiji epal, dan kita saling bertukar-tukar epal tersebut. Maka anda dan saya masih mempunyai sebiji epal. Tetapi jika anda mempunyai satu idea dan saya satu idea, dan kita saling bertukar idea, maka anda dan saya sudah mempunyai dua idea.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin