SELAMAT DATANG KE ARTMYWORK, TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN ANDA

24 Mac 2009

Convert Mentol 220V kepada 12V

Gambar di atas merupakan sebuah mikroskop cahaya elektrik yang menggunakan mentol 220volt 15watt sebagai sumber cahayanya yang disambung terus ke soket bekalan elektrik 220volt. Masalahnya, mentol asalnya sudah terbakar dan tiada stok untuk mentol saiz sederhana dengan voltan 220volt, yang banyak adalah mentol 12volt 24watt. Jadi, bagaimana jalan penyelesaiannya? Ada beberapa cadangan seperti berikut :
  1. Membeli mentol tersebut dari pembekal.
  2. Melupus peralatan tersebut memandangkan sudah agak lama juga ia telah digunakan.
  3. Membuat beberapa pengubahsuaian bersandarkan pada sumber yang sedia ada.
Cadangan pertama memang boleh, namun peralatan itu diperlukan segera dan masalah berlaku tanpa dapat diduga namun tak semestinya tidak dapat diselesaikan segera. Cadangan kedua agak ekstrim, peralatan itu masih boleh digunakan dan dalam keadaan ekonomi gawat adalah lebih baik peruntukan yang ada digunakan untuk membeli peralatan yang belum ada. Cadangan ketiga lebih sesuai kerana ia boleh menyelesaikan masalah dengan segera disamping menjimatkan kos, hanya perlukan kemahiran dan sumber yang sudah sedia ada.

Maka, kerja-kerja pengubahsuaian pun dilakukan supaya ia boleh digunakan terus setelah disiapkan kelak. Mentol yang akan digunakan adalah 24watt 12volt, bermakna sumber tenaga elektrik perlu melalui bekalan kuasa rendah atau 'low power pack' untuk mengurangkan voltan. Plug 3 pin pada mikroskop tersebut akan digantikan dengan 'banana clip' supaya boleh dimasukkan ke terminal AC pada 'low power pack'.

Setelah siap pengubahsuaian dilakukan, maka percubaan perlu dilakukan untuk menguji sama ada berfungsi atau tidak. Mulakan dengan voltan rendah 4volt dahulu sebelum terus kepada 12volt. Maka, ujian berjaya dilakukan apabila mentol menyala dengan kecerahan yang terang untuk kuasa mentol 24watt berbanding lampu asal sebelum ini yang hanya berkuasa 15watt. Pasang kembali penutup dan mikroskop cahaya elektrik sekarang boleh digunakan tanpa perlu menunggu lama.

22 Mac 2009

Urban Garden Style

Apa yang dimaksudkan Urban Garden Style ialah cara penanaman yang tidak menggunakan batas tanah di kawasan terbuka. Ia mungkin penanaman secara hidroponik, dalam polybag, menggunakan bekas terbuang seperti botol plastik 2.5 liter atau boleh dapatkan kotak kayu yang banyak di buang di market jual buah-buahan.

Kelebihan cara penanaman begini ialah boleh dibuat di mana-mana saja asalkan masih boleh mendapat pancaran cahaya matahari, tidak perlu kawalan rumput dan rumpai, tidak mudah diserang penyakit dan serangga. Hanya perlu menjaga kesuburan tanah dan penyiraman sahaja kerana masalah lain tidak timbul. Dengan itu, apabila melihat kesuburan hasil tanaman, maka kita pun seronok dan bersemangat kerana teori ilmu yang dipelajari melalui maklumat-maklumat yang diperolehi melalui internet, buku atau majalah kini membuahkan hasil yang memberangsangkan.

24 Februari 2009

Pameran 45 Tahun Sarawak Maju

Bersempena dengan 45 tahun Sarawak maju dalam Malaysia, Bahagian Mukah akan mengadakan pameran berkenaan pencapaian negeri ini amnya dan bahagian Mukah khususnya sepanjang tempoh tersebut. SMK Dalat turut dijemput oleh Pejabat Daerah Dalat untuk membentangkan perkembangan sekolah ini dan pencapaian yang telah diraih sepanjang 30 tahun kewujudannya.

Perlantikan sebagai AJK Penyediaan Bahan Pameran sejarah perkembangan sekolah memberikan satu ruang lagi untuk saya terlibat menyampaikan artmywork kepada sekolah bagi tatapan seluruh warga daerah Dalat khususnya dan warga bahagian Mukah amnya. Poster di atas memaparkan sebahagian daripada bahan-bahan menarik yang akan dipamerkan kelak.

22 Februari 2009

Banner Blog Kakitangan Makmal Sains

Banner ini dibuat khas untuk blog Kakitangan Makmal Sains sebagai satu usaha murni untuk menyokong menambah baik rekabentuk blog dan mempergiatkan lagi penglibatan komuniti Pembantu Makmal di Malaysia dalam memberi pandangan, idea dan permasalahan yang dihadapi dalam melaksanakan tugas.

Hasil pertama yang saya lakukan dengan Adobe Photoshop CS3 dimana hasil sedemikian tidak dapat dibuat menggunakan tool yang terhad dalam versi terdahulu. Banner tersebut berlatarbelakangkan seorang petugas di makmal yang menjalankan kerja-kerja sains berdasarkan radas yang dikendalikannya. Ia sesuai untuk menjadi banner blog Kakitangan Makmal Sains.

19 Februari 2009

Sukatan Penyediaan Larutan Kimia

Sebelum penyediaan larutan kimia pengiraan terlebih dahulu dibuat berdasarkan kemolaran dan jumlah larutan yang diperlukan. Pengiraan dibuat dengan menggunakan formula tertentu sebagai asas, maksudnya formula tersebut menetapkan standard pengiraan untuk larutan 1 Mol dalam 1000 ml air.

Mungkin ada yang setiap kali menyediakan larutan setiap kali itu jugalah membuat pengiraan, pasti sekali memenatkan dan perlaksanaan kerja lambat. Mungkin ada juga yang telah membuat catatan atau rekod ringkas supaya mudah untuk membuat rujukan semula pada masa akan datang. Namun, bagi memudah dan mempercepatkan proses kerja penyediaan larutan seharusnya jadual pengiraan perlu dibuat. Supaya dengan cara ini setiap kali penyediaan larutan dilakukan tidak perlu membuat pengiraan semula atau merujuk catatan yang mungkin tidak kemas dan bertaburan.


Sebuah buku jadual sukatan penyediaan larutan kimia perlu dibuat dengan kadar kemolaran yang biasa digunakan misalnya dari 0.01 Mol sehingga 5.0 Mol ditentukan. Kemudian berapa banyak larutan yang biasa digunakan dari serendah 100 ml sehingga 1000 ml. Sekiranya sukatan yang diperlukan tiada dalam catatan jadual maka dengan mudah saja pengiraan boleh dibuat, cuma perlu menambah, membahagi dan mendarab sahaja.

Cara ini telah berjaya mempercepatkan proses kerja penyediaan larutan, dimana terdapat banyak senarai larutan bahan kimia telah pun dilengkapkan pengiraannya dalam jadual.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin