SELAMAT DATANG KE ARTMYWORK, TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN ANDA

26 Julai 2009

Rezeki Ada di Mana-mana


4 Jenis Cili
Pada tahun ini rezeki sungguh melimpah ruah, dimana-mana sahaja pekebun sayur akan mendapat hasil tanaman yang baik dan segar jika dijaga dengan betul (tidak dimakan serangga atau belalang). Cuma apabila berlaku hujan beberapa hari dan cuaca sentiasa lembab menyebabkan beberapa pohon tanaman seperti cili membusuk akibat terlebih air. Semenjak bulan Februari lepas kami sekeluarga kurang membeli sayuran dari pasar hasil penanaman beberapa jenis sayuran di halaman rumah.

Sawi Sudu
Bukan setakat sayuran, kaki pancing juga turut mendapat tangkapan yang lumayan. Inilah yang dinamakan rezeki, jika kita rajin mencari dan mengusahakannya dimana-mana saja kita boleh mendapatkannya, yang penting belajar untuk berdikari dan bersusah payah supaya tidak terlalu bergantung dengan orang lain bagi mengelak dari dimanipulasi.

Foto 1
Foto 2
Foto 3

*Foto 1, 2 dan 3 sumbangan dari memberku Wahed Haris.

02 Julai 2009

Cover Brosure SMIM


Pengenalan

Bagi menambahbaik kaedah penyampaian maklumat inventori, Unit Makmal Sains mengambil langkah proaktif untuk membangunkan Sistem Maklumat Inventori Makmal (SMIM). SMIM diperkenalkan bagi memudahkan pengurusan maklumat-maklumat inventori tertentu yang merupakan sebahagian daripada alat bantu mengajar (ABM) sains.

SMIM mempunyai beberapa ciri yang mudah guna dengan panel menu utama yang jelas dan ringkas. SMIM akan diupgrade dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan pertambahan inventori untuk peralatan baru.

17 Jun 2009

Cover Brosure Makmal Sains 2010

Muka Hadapan Brosure
Banyak badan-badan dan agensi-agensi tertentu telah menggunakan brosure untuk memperkenalkan kewujudan dan perkhidmatan mereka kepada orang awam. Ini merupakan salah satu daripada sistem penyampaian maklumat berkenaan sesuatu badan dan agensi kepada masyarakat awam.

Penggunaan brosure amat penting walaupun unit makmal sains hanya bersifat dalaman sekolah sahaja dan hanya dikenali oleh pelajar dan guru sahaja. Tapi persoalannya sejauh manakah para pelajar terutama guru mengenali unit makmal sains. Adakah unit ini sekadar membantu guru-guru sains sahaja sedangkan hakikatnya pengurusan makmal adalah dibawah kawal selia kakitangan makmal sains.

Maka itulah, unit makmal sains cuba memperkenalkan penyampaian maklumat menerusi brosure ini yang akan memperkenalkan serba sedikit tentang latarbelakang unit makmal sains, perkhidmatan dan kemudahan yang ada, sistem-sistem yang digunapakai dalam pengurusan serta tatacara mencari peralatan atau inventori serta prosedur-prosedur lain misalnya merekod buku peralatan pecah, penggunaan printer dan pesanan radas dan bahan untuk eksperimen.

09 Jun 2009

Tunggul Kayu atau Burung?

Sekali pandang nampak macam tunggul kayu je
Pada mulanya bila dikatakan ada seekor burung pada puncak pohon kayu yang dipotong, memang tidak percaya. Kerana tidak nampak pun kelibat seperti seekor burung. Apabila diperhatikan betul-betul barulah nampak mana matanya, mana paruhnya dan mana pula pelepah sayapnya. Sekali pandang memang tidak nampak seperti burung lantaran warna bulu dan coraknya sama seperti batang kayu dimana ia hinggap. Apatah lagi bila burung tersebut mendongak ke atas seolah-olah puncak pohon kayu yang telah dipotong rata itu kelihatan seperti dipotong sendeng 45 darjah.

2 kali pandang baru la nampak macam burung
Apabila diperhatikan pula dari sudut lain barulah jelas akan rupanya yang sebenar dengan adanya paruh, mata dan sayapnya. Dari apa yang saya perhatikan apabila burung ini sedar dan cuba nak melepaskan diri, ia adalah sejenis burung helang tidak pasti spesis apa. Mungkin sesiapa yang terbaca post ini dan berpengetahuan mengenai spesis-spesis burung boleh reply untuk menjelaskan spesis sebenar burung berkenaan.

Memang agak pelik juga rupanya, burung ini tidak akan bergerak bila ada ancaman di sekelilingnya. Dengan kelebihan warna dan bentuknya, burung ini menggunakan teknik penyamaran dan tidak akan bergerak bagi memastikan kehadirannya disitu tidak disedari. Apabila pengancamnya mendekati semakin hampir, kepalanya yang mendongak ke atas tadi akan perlahan-lahan menoleh dan matanya juga akan terbuka liar. Bilamana rasa terancam ia akan terbang melarikan diri tetapi tidak lama selepas itu ia akan kembali. Begitulah seterusnya. Tempat itu telah menjadi habitatnya semenjak hampir sebulan yang lalu.

Warna dan corak batang kayu sama dengan warna dan corak bulu burung

06 Jun 2009

Cili Api & Bunga ala Morning Glory

Kecil-kecil cili api, walaupun kecil pedasnya memang berapi. Sesekali nak juga merasa masakan dengan cili padi ni. Di tempat saya jarang dijual cili jenis ini oleh itu saya simpan dan semai biji benihnya untuk ditanam di sekitar rumah ada dalam 3 batang pokok. Jadi, kalau nak tambah dalam ramuan masakan petik saja tak perlu beli di pasar.

Ini pulak cili misai kucing dan pedasnya pun boleh tahan juga, tunggu masa untuk masak merah menyala. Cili ni saya tanam dalam polybag kerana tak ada ruang lagi tempat untuk menanam, ada beberapa buah polybag. Kalau nak merasa kepedasan cili misai kucing ni pun hanya petik saja. Segala apa yang diusahakan ini sebagai satu cara untuk berdikari tanpa terlalu bergantung kepada hasil "import" dari luar yang hanya membazirkan wang saja. Sedangkan di dalam negara kita masih banyak ruang tanah yang belum diterokai. Rakyat Malaysia perlu lebih produktif lagi jika mahu maju dengan kadar yang pantas. Negara kita masih kaya dengan hasil bumi dan tanah terbiar.

Bunga ini warnanya macam "morning glory" tetapi ia bukan morning glory, mungkin sama spesis jugak. Setiap pagi ia akan berbunga dengan lebat, petang akan gugur dan esok pagi berbunga lagi. Bunga ini 'diseludup' dari sabah sebab bila pandang kali pertama dulu memang cantik dan lebat berbunga dengan ditanam secara berbaris. Justeru itu, isteri saya pun berkenan dan dibawa balik. Kalau kat Sabah ditanam di kawasan tanah tinggi, bila sampai kat sini cuba ditanam di kawasan rendah dan ia menjadi.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin