SELAMAT DATANG KE ARTMYWORK, TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN ANDA

17 Jun 2009

Cover Brosure Makmal Sains 2010

Muka Hadapan Brosure
Banyak badan-badan dan agensi-agensi tertentu telah menggunakan brosure untuk memperkenalkan kewujudan dan perkhidmatan mereka kepada orang awam. Ini merupakan salah satu daripada sistem penyampaian maklumat berkenaan sesuatu badan dan agensi kepada masyarakat awam.

Penggunaan brosure amat penting walaupun unit makmal sains hanya bersifat dalaman sekolah sahaja dan hanya dikenali oleh pelajar dan guru sahaja. Tapi persoalannya sejauh manakah para pelajar terutama guru mengenali unit makmal sains. Adakah unit ini sekadar membantu guru-guru sains sahaja sedangkan hakikatnya pengurusan makmal adalah dibawah kawal selia kakitangan makmal sains.

Maka itulah, unit makmal sains cuba memperkenalkan penyampaian maklumat menerusi brosure ini yang akan memperkenalkan serba sedikit tentang latarbelakang unit makmal sains, perkhidmatan dan kemudahan yang ada, sistem-sistem yang digunapakai dalam pengurusan serta tatacara mencari peralatan atau inventori serta prosedur-prosedur lain misalnya merekod buku peralatan pecah, penggunaan printer dan pesanan radas dan bahan untuk eksperimen.

09 Jun 2009

Tunggul Kayu atau Burung?

Sekali pandang nampak macam tunggul kayu je
Pada mulanya bila dikatakan ada seekor burung pada puncak pohon kayu yang dipotong, memang tidak percaya. Kerana tidak nampak pun kelibat seperti seekor burung. Apabila diperhatikan betul-betul barulah nampak mana matanya, mana paruhnya dan mana pula pelepah sayapnya. Sekali pandang memang tidak nampak seperti burung lantaran warna bulu dan coraknya sama seperti batang kayu dimana ia hinggap. Apatah lagi bila burung tersebut mendongak ke atas seolah-olah puncak pohon kayu yang telah dipotong rata itu kelihatan seperti dipotong sendeng 45 darjah.

2 kali pandang baru la nampak macam burung
Apabila diperhatikan pula dari sudut lain barulah jelas akan rupanya yang sebenar dengan adanya paruh, mata dan sayapnya. Dari apa yang saya perhatikan apabila burung ini sedar dan cuba nak melepaskan diri, ia adalah sejenis burung helang tidak pasti spesis apa. Mungkin sesiapa yang terbaca post ini dan berpengetahuan mengenai spesis-spesis burung boleh reply untuk menjelaskan spesis sebenar burung berkenaan.

Memang agak pelik juga rupanya, burung ini tidak akan bergerak bila ada ancaman di sekelilingnya. Dengan kelebihan warna dan bentuknya, burung ini menggunakan teknik penyamaran dan tidak akan bergerak bagi memastikan kehadirannya disitu tidak disedari. Apabila pengancamnya mendekati semakin hampir, kepalanya yang mendongak ke atas tadi akan perlahan-lahan menoleh dan matanya juga akan terbuka liar. Bilamana rasa terancam ia akan terbang melarikan diri tetapi tidak lama selepas itu ia akan kembali. Begitulah seterusnya. Tempat itu telah menjadi habitatnya semenjak hampir sebulan yang lalu.

Warna dan corak batang kayu sama dengan warna dan corak bulu burung

06 Jun 2009

Cili Api & Bunga ala Morning Glory

Kecil-kecil cili api, walaupun kecil pedasnya memang berapi. Sesekali nak juga merasa masakan dengan cili padi ni. Di tempat saya jarang dijual cili jenis ini oleh itu saya simpan dan semai biji benihnya untuk ditanam di sekitar rumah ada dalam 3 batang pokok. Jadi, kalau nak tambah dalam ramuan masakan petik saja tak perlu beli di pasar.

Ini pulak cili misai kucing dan pedasnya pun boleh tahan juga, tunggu masa untuk masak merah menyala. Cili ni saya tanam dalam polybag kerana tak ada ruang lagi tempat untuk menanam, ada beberapa buah polybag. Kalau nak merasa kepedasan cili misai kucing ni pun hanya petik saja. Segala apa yang diusahakan ini sebagai satu cara untuk berdikari tanpa terlalu bergantung kepada hasil "import" dari luar yang hanya membazirkan wang saja. Sedangkan di dalam negara kita masih banyak ruang tanah yang belum diterokai. Rakyat Malaysia perlu lebih produktif lagi jika mahu maju dengan kadar yang pantas. Negara kita masih kaya dengan hasil bumi dan tanah terbiar.

Bunga ini warnanya macam "morning glory" tetapi ia bukan morning glory, mungkin sama spesis jugak. Setiap pagi ia akan berbunga dengan lebat, petang akan gugur dan esok pagi berbunga lagi. Bunga ini 'diseludup' dari sabah sebab bila pandang kali pertama dulu memang cantik dan lebat berbunga dengan ditanam secara berbaris. Justeru itu, isteri saya pun berkenan dan dibawa balik. Kalau kat Sabah ditanam di kawasan tanah tinggi, bila sampai kat sini cuba ditanam di kawasan rendah dan ia menjadi.

Tanaman Tembikai & Labu

Pada mulanya hanyalah sekadar suka-suka untuk menanam tembikai dan labu, kalau-kalau menjadi. Namun, apabila semakin membesar dan subur cubaan tersebut mendatangkan hasil. Ia sungguh mengujakan kerana hanya beberapa hari saja berlaku perubahan saiz buah. Justeru itu, penjagaannya terus dilakukan sehingga buahnya terus menjadi dan boleh dipetik.

Selain mengisi masa lapang dan membuat perkara-perkara yang berfaedah mendatangkan hasil. Ini juga adalah satu caranya terapi minda atau tenangkan jiwa kerana kita sebagai manusia tidak akan mampu melepaskan diri dari fungsi alam semulajadi sebagai penyembuh penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun dalaman. Disamping untuk merasa sendiri hasil yang ditanam oleh usaha tangan sendiri dan menjimatkan kos perbelanjaan membeli makanan atau buah-buahan.

05 Jun 2009

Signboard Simbol Bahaya Bahan Kimia

Simbol-simbol Amaran Bahan Kimia Berbahaya
Signboard ini diperbuat daripada polisterin dan diwarnakan dengan cat mural Pelaka. Untuk menghasilkan 6 simbol berukuran 25cm X 25cm boleh diselesaikan selama 1 hari sahaja waktu bekerja termasuk terus menampal ke tempat yang hendak dipamerkan. Penghasilan signboard ini hanya memerlukan kos yang murah sahaja dan lebih menarik lagi dengan warna yang terang dan jelas. Memandangkan polisterin mudah patah, untuk meneguhkannya dan memudahkan menampal serta mencabutnya maka di bahagian belakang signboard polisterin ini ditampal dengan kad manila.

Tempat Paparan yang Mudah Diperhatikan
Dengan pemaparan simbol-simbol ini bukan saja untuk menceriakan bilik makmal tetapi yang lebih penting pelajar dapat mengenali apakah simbol-simbol bahaya bahan kimia. Setiap kali masuk ke makmal lama kelamaan boleh hafal dan ingat. Selain daripada simbol tersebut, lakaran wajah tokoh-tokoh sains juga boleh dibuat. Jika sebelum ini saya turut membuat signboard menggunakan papan perspeks, penggunaan polisterin juga adalah satu alternatif dengan kos yang murah dan mudah.

03 Jun 2009

Pembaikan Singki Makmal

Kebocoran berlaku pada bahagian ini
Pembaikan Singki pun ada inovasi juga...!! Jika ada kerosakan di dalam makmal mungkin ada yang akan menghubungi Pekerja Am untuk membaikinya. Tetapi sebelum itu perlu melalui prosedur iaitu mengisi borang Laporan Kerosakan barulah Pekerja Am akan mengambil tindakan. Saya cuba mengambil pendekatan yang berbeza, yang lebih cepat dan tidak perlu karenah birokrasi, kerana kerosakan yang dialami tidak boleh dibaiki secara 'asal siap' kerja. Saya tidak mahu selepas dibaiki nanti masalah yang sama tetap berulang setelah beberapa minggu atau bulan digunakan sedangkan sudah dibaiki. Saya mahukan penyelesaian yang mutlak, yang boleh bertahan lama.

Pembaikan tidak boleh dilakukan hanya dengan menggunakan bahan mentah yang boleh didapati terus di kedai-kedai alat ganti. Saya perlu melihat permasalahan yang sebenarnya dan apakah puncanya. Masalahnya adalah aliran air singki tidak terus melalui saluran keluar, sebaliknya kebocoran pada penyambung walaupun sesendal asli sudah dipasang. Masalahnya sesendal itu terlalu kecil dan tidak mampu menutup ruang sehingga melimpah keluar dari saluran yang sepatutnya.

Ubahsuai Sesendal dari Bahan Terpakai
Justeru itu, saya gantikan sesendal getah yang berbentuk gelang itu dengan tiub tayar yang dikerat bulat seperti pada gambarajah di atas. Dengan itu, apabila diketatkan dengan skru untuk mengapit penutup singki itu maka getah tiub tayar yang luas permukaannya yang lebih besar dapat menutup mana-mana ruang yang mungkin terbuka mengakibatkan aliran keluar melimpah. Penutup singki dengan skru serta nut saya spray dengan warna kuning supaya dapat bertahan dari berkarat akibat pembuangan sisa-sisa bahan kimia.

Masalah sebelum ini akibat limpahan keluar air dari singki menyebabkan seluruh lantai dilimpahi air setiap kali selepas eksperimen dijalankan. Maka itulah saya perlu 'turun padang' untuk melihat sendiri apakah punca sebenar sedangkan bila dilihat dari segi pemasangan penutup singki itu memang betul dan nampak sempurna.

Bagi saya, dalam membuat penyelesaian masalah saya akan cuba mencari langkah yang terbaik bukan saja dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah diketahui tetapi juga dengan mempelajari pengetahuan baru untuk menimba pengalaman yang baru. Tidak semestinya dalam menyelesaikan masalah itu perlu dengan kos yang tinggi. Cabaran yang paling getir ialah bagaimana untuk menyelesaikan masalah tetapi dengan kos yang efektif dan hasilnya sama seperti yang baru dan berjenama. Semoga perkongsian idea dan pendapat ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa saja yang merasakan 'stress' dalam bekerja menyelesaikan apa jua masalah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin