SELAMAT DATANG KE ARTMYWORK, TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN ANDA

03 Jun 2009

Pembaikan Singki Makmal

Kebocoran berlaku pada bahagian ini
Pembaikan Singki pun ada inovasi juga...!! Jika ada kerosakan di dalam makmal mungkin ada yang akan menghubungi Pekerja Am untuk membaikinya. Tetapi sebelum itu perlu melalui prosedur iaitu mengisi borang Laporan Kerosakan barulah Pekerja Am akan mengambil tindakan. Saya cuba mengambil pendekatan yang berbeza, yang lebih cepat dan tidak perlu karenah birokrasi, kerana kerosakan yang dialami tidak boleh dibaiki secara 'asal siap' kerja. Saya tidak mahu selepas dibaiki nanti masalah yang sama tetap berulang setelah beberapa minggu atau bulan digunakan sedangkan sudah dibaiki. Saya mahukan penyelesaian yang mutlak, yang boleh bertahan lama.

Pembaikan tidak boleh dilakukan hanya dengan menggunakan bahan mentah yang boleh didapati terus di kedai-kedai alat ganti. Saya perlu melihat permasalahan yang sebenarnya dan apakah puncanya. Masalahnya adalah aliran air singki tidak terus melalui saluran keluar, sebaliknya kebocoran pada penyambung walaupun sesendal asli sudah dipasang. Masalahnya sesendal itu terlalu kecil dan tidak mampu menutup ruang sehingga melimpah keluar dari saluran yang sepatutnya.

Ubahsuai Sesendal dari Bahan Terpakai
Justeru itu, saya gantikan sesendal getah yang berbentuk gelang itu dengan tiub tayar yang dikerat bulat seperti pada gambarajah di atas. Dengan itu, apabila diketatkan dengan skru untuk mengapit penutup singki itu maka getah tiub tayar yang luas permukaannya yang lebih besar dapat menutup mana-mana ruang yang mungkin terbuka mengakibatkan aliran keluar melimpah. Penutup singki dengan skru serta nut saya spray dengan warna kuning supaya dapat bertahan dari berkarat akibat pembuangan sisa-sisa bahan kimia.

Masalah sebelum ini akibat limpahan keluar air dari singki menyebabkan seluruh lantai dilimpahi air setiap kali selepas eksperimen dijalankan. Maka itulah saya perlu 'turun padang' untuk melihat sendiri apakah punca sebenar sedangkan bila dilihat dari segi pemasangan penutup singki itu memang betul dan nampak sempurna.

Bagi saya, dalam membuat penyelesaian masalah saya akan cuba mencari langkah yang terbaik bukan saja dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah diketahui tetapi juga dengan mempelajari pengetahuan baru untuk menimba pengalaman yang baru. Tidak semestinya dalam menyelesaikan masalah itu perlu dengan kos yang tinggi. Cabaran yang paling getir ialah bagaimana untuk menyelesaikan masalah tetapi dengan kos yang efektif dan hasilnya sama seperti yang baru dan berjenama. Semoga perkongsian idea dan pendapat ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa saja yang merasakan 'stress' dalam bekerja menyelesaikan apa jua masalah.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin